Kawalan Pembangunan Tanah Semenanjung Malaysia

 


1.0    Pengenalan

 

Pengawalan pembangunan di Semenanjung Malaysia dilaksanakan melalui dua peringkat iaitu peringkat negeri dan peringkat tempatan. Kerajaan Negeri bertanggungjawab sepenuhnya ke atas segala urusan mengenai penggunaan tanah, termasuk ubah syarat, pecah sempadan, penyatuan tanah dan lain-lain perkara berkaitan tanah di negeri masing-masing.

 

Di peringkat kerajaan tempatan, pihak berkuasa tempatan bertanggungjawab mengawal pembangunan di dalam kawasan perancangannya dari aspek teknikal seperti susunatur, rekabentuk bangunan, sistem laluan dan penyediaan kemudahan awam. Pengawalan yang dijalankan haruslah selari dengan dasar rancangan struktur dan cadangan rancangan tempatan.

 

Oleh itu, kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah diperolehi terlebih dahulu sebelum sebarang aktiviti pembangunan tanah boleh dijalankan oleh pemilik tanah atau pemaju.

 

2.0    Kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)

 

Akta Perancangan Bandar Dan Desa, 1976 (Akta 172) yang mengadakan peruntukan melarang seseorang daripada menjalankan kegiatan atau aktiviti pembangunan tanpa kebenaran dari pihak berkuasa perancang tempatan melainkan kegiatan yang sedia ada telah wujud sebelum akta ini berkuatkuasa.

 

Sekiranya seseorang itu berhasrat untuk menjalankan aktiviti pembangunan/pemajuan tanah, permohonan kebenaran merancang hendaklah dibuat untuk mendapat kebenaran bertulis daripada Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBT). Oleh itu, pemilik tanah atau pemaju perlu mendapatkan surat kelulusan kebenaran merancang yang merujuk kepada lot tanah yang berkenaan.

 

 

3.0    Kelulusan Pihak Berkuasa Negeri (PBN)

 

Berdasarkan kepada prosedur dan proses pembangunan tanah di Semenanjung Malaysia, sesuatu tanah yang dirancang untuk dimajukan dikehendaki terlebih dahulu mendapat kelulusan dasar daripada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) yang berkenaan.

 

Kelulusan dasar adalah dimana PBN memberi kelulusan secara dasar terhadap sesuatu cadangan pembangunan tanah setelah PBN berpuas hati bahawa cadangan pembangunan tersebut telah mematuhi dasar Kerajaan Negeri serta rancangan pemajuan bagi kawasan tersebut.

 

Pada peringkat mendapat kelulusan dasar inilah beberapa peruntukan dalam KTN 1965 digunapakai bagi maksud pembangunan tanah. Surat kelulusan daripada PBN perlu diperolehi terlebih dahulu yang melibatkan permohonan kelulusan untuk ubah syarat, pecah sempadan, penyatuan dan pecah bahagian tanah.

 

Kelulusan pembangunan tanah boleh diperolehi melalui peruntukan Seksyen 124 (kuasa pihak berkuasa negeri untuk mengubah syarat atas permohonan pemilik). Prosedur permohonan pembangunan tanah yang menggunakan Seksyen 124 KTN ini melibatkan permohonan kelulusan mengubah syarat penggunaan tanah, atau sekatan kepentingan.

 

Melalui peruntukan Seksyen 124A (Permohonan secara serentak untuk ubah syarat dan pecah sempadan) pula membolehkan suatu permohonan ubah syarat-syarat, sekatan dan jenis dibuat secara serentak dengan pecah sempadan.

 

Manakala prosedur permohonan pembangunan tanah yang menggunakan peruntukan Seksyen 204 KTN melibatkan proses penyerahan dan pemberian milik semula.

 

Proses kelulusan oleh PBN ini pada asasnya adalah peringkat pertama bagi permohonan pembangunan tanah iaitu proses kelulusan dasar perancangan. Ini diikuti oleh proses permohonan pecah sempadan, penyatuan petak dan pecah bahagian tanah bagi lot tanah yang berkenaan. Untuk mendapatkan kelulusan pada peringkat ini, pemilik tanah/pemohon perlu melalui agensi-agensi kerajaan seperti Pejabat Tanah (PTD), Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri (JUPEM).

 

 

Sumber Rujukan:

1.  Kanun Tanah Negara 1965

2.  Ensiklopedia Undang-undang dan Pentadbiran Perancangan Bandar Dan Desa

 

 

Hakmilik Terpelihara 2012, www.gotogis.com

Pihak gotogis.com tidak bertanggungjawab di atas sebarang kehilangan atau kerosakan kerana menggunakan maklumat dalam laman web ini.